Khamis, Oktober 02, 2014
   
Text Size

Carian

Tafsir al-Maidah ayat 79: Mesti tegur menegur

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

 Mesti ada tegur menegur antara satu sama lain. Sebagai contoh jika isteri melakukan maksiat, suami mestilah menasihatinya, begitulah sebaliknya.
Para ulama menyatakan bahawa orang yang menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran itu bukan semestinya meninggalkan maksiat. Ertinya, tidak menjadi masalah menunaikan suruhan amar makruf nahi mungkar walaupun seseorang itu melakukan maksiat.

Tangungjawabnya dalam soal mencegah kemungkaran, sudah ditunaikan sementara maksiat yang dibuat pula sudah pasti merupakan suatu dosa yang dikenakan ke atas perbuatan itu.

Perbuatan cegah mencegah antara satu sama lain tidak berlaku di kalangan kaum Bani Izrail. Cegah mencegah antara satu sama lain boleh berlaku antara ahli maksiat.

Misalnya, ada di kalangan kaki judi atau pencuri merasakan perbuatan mereka itu perlu ditinggalkan kerana ia tidak mendatangkan faedah satu pun melainkan menyusahkan orang lain. Lalu mereka nasihat mensihati antara satu sama lain sekali gus meninggalkan perbuatan berkenaan.
Ini bermakna bukan ahli maksiat itu tidak mengerti bahawa perbuatan yang mereka lakukan itu tidak baik tetapi nafsu bermaharajalela dalam diri mereka menyebabkan perbuatan itu masih menjadi amalan mereka.

Akhirnya dengan hidayah Allah mereka meninggalkan perbuatan jahat itu.

Menurut hukumnya sah menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran itu berlaku di kalangan orang yang melakukan maksiat.

Ini kerana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, "sesungguhnya kadang kala Allah menolong agama ini dengan perbuatan baik yang dilakukan oleh orang jahat."

Ini kerana apabila orang baik tidak berani, Allah jadikan orang jahat mencegah kemungkaran supaya penduduk sesuatu kampung itu tidak diturunkan bala.

Menjadi sebab turunnya bala ke atas umat zaman dahulu kerana tidak ada di kalangan mereka orang yang mencegah kemungkaran.

Di kalangan umat Muhammad pula, pernah berlaku Islam ditolong oleh orang fasik. Menyuruh perkara baik dan mencegah kemungkaran berlaku di kalangan mereka dan perbuatan itu dikira sah di sisi ulama.

Tidak menjadi syarat orang yang menyuruh melakukan perkara baik dan mencegah kemungkaran itu orang yang bersih daripada sebarang kejahatan dan maksiat.

Tidak dinafikan pentingnya sesiapa yang menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran itu orang yang bersih daripada maksiat tetapi tidak menjadi halangan kepada sesiapa sahaja yang ingin mencegah kemungkaran walaupun mereka sendiri melakukan maksiat.

Disebut di dalam hadis sahih di dalam kitab Riyadhus Solihin bahawa terdapat seorang lelaki pada hari kiamat, perutnya panjang berjela-jela dan diikat pula pada penunggul.

Kemudian perutnya diheret menggelilingi penuggul tersebut seperti beruk mengheret tali di sekelilingnya.

Manusia mengerumuni mereka seraya bertanya, "kenapa kamu dijadikan sedemikian rupa sedangkan di dunia dahulu kamulah orang yang sedap bercakap dan kamu ini seorang ustaz yang kerja kamu mencegah orang daripada melakukan maksiat dan menyuruh mereka melakukan kebaikan?"
Lalu dia menjawab,"aku menyuruh orang buat baik tetapi aku sendiri tidak melakukannya. Inilah balasan yang Allah berikan kepada aku."

Yang melakukan maksiat, Allah akan menghukum dan memberi balasan setimpal dengan perbuatannya. Bagaimanapun kewajipan amar makruf nahi mungkar suatu tanggungajawab yang mesti ditunaikan oleh sesiapa sahaja di kalangan umat Islam.

Berlaku pada zaman dahulu, seorang raja yang tabiatnya suka minum arak. Walaupun demikian dia tetap mengharamkan arak dan menghukum rakyatnya yang meminum minuman memabukan itu. Tetapi dia sendiri adalah peminum arak, masih tidak meninggalkan perbuatan haram tersebut.
Ertinya perbuatan menyuruh kepada perkara yang baik dan mencegah kemungkaran hendaklah dilakukan oleh umat Islam.

Dalam hadis yang lain diriwiyatkan oleh Imam Ahmad bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah, tidak mengazab orang ramai dengan perbuatan yang dilakukan oleh orang yang khusus (Allah tidak mengazabkan orang ramai apabila ada golongan tertentu mengerjakan maksiat di kalangan mereka) sehinggalah mereka melihat maksiat berlaku di kalangan mereka sedangkan mereka mampu mencegahnya tetapi tiba-tiba mereka tidak mencegahnya."

Apabila berlaku demikian Allah Ta’ala mengazabkan orang yang khusus (tertentu) mengerjakan maksiat dan orang ramai yang tidak melakukan maksiat turut sama ditimpakan azab."

Ini adalah amaran yang keras daripada Nabi s.a.w. - lanh

Pembuka Kata

Kenyataan Media

  • 1
  • 2
  • 3
  • 4

Video Terkini

Sebarkan

Facebook MySpace Twitter Digg Delicious Google Bookmarks RSS Feed 

E-mail PAS

Sedang Online

Kami ada 14 tetamu online